Home NasionalDiskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina

Diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju memberikan diskaun 50 peratus untuk tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dengan kesan kewangan dianggarkan RM19.5 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selaras dengan usaha kerajaan menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum serta agama.

“Pelaksanaan diskaun akan bermula pada 12.01 tengah malam 14 Februari dan berakhir pada 11.59 malam 15 Februari. Diskaun ini diharap dapat meringankan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung atau bercuti sempena perayaan itu serta menjelang Ramadan,” katanya.

Diskaun itu terpakai kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, namun tidak membabitkan plaza tol sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

banner

Nanta berkata, pemilihan tarikh itu bertujuan mengelakkan penumpuan trafik selain mengoptimum operasi serta penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah dan rehat dan rawat (R&R).

Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan baik, mematuhi had laju dan arahan papan tanda serta memanfaatkan aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk cadangan waktu perjalanan.

Orang ramai juga disyorkan menyemak maklumat trafik semasa melalui saluran rasmi LLM atau menghubungi pusat pengurusan trafik agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini. – Berita Harian

Tinggalkan komen