KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, jam 2.10 petang, hari ini.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila lebih 1,000 orang hadir, termasuk ahli keluarga, sahabat terdekat Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir.
Mereka dilihat tidak dapat menahan sebak, menggambarkan kehilangan pemimpin itu cukup dirasai di mata rakyat.
Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan pada 1.45 tengah hari selepas disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Antara yang hadir termasuklah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri kabinet serta pemimpin politik negeri.
Terdahulu media melaporkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta pada 1.46 pagi tadi.
Bung Moktar dikenang sebagai pemimpin lantang, berani bersuara dan sangat dekat dengan masyarakat Kinabatangan yang diwakilinya selama lebih 20 tahun.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia politik Sabah. – Metro
