KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung bulan depan.
Sumber berkata bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM sudah mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi UMNO khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali ke pangkuan parti itu.
Isyarat restu itu disampaikan sendiri Timbalan Perdana Menteri kepada Khairy atau KJ ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.
“Pada pertemuan itu Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli UMNO.
“Khairy dijangka membantu kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti. Ini memandangkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan parti nanti adalah seusia dan rakan-rakan politiknya,” katanya.
Sumber itu berkata, Khairy juga dikatakan sudah dipertimbangkan untuk dinamakan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mewakili kawasan Parlimen Kepala Batas.
“Parlimen itu adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
UMNO belum terima surat permohonan KJ
Sementara itu, sumber parti yang dihubungi memaklumkan, setakat hari ini, UMNO belum menerima sebarang surat permohonan daripada Khairy untuk menyertai semula parti.
Penyertaan semula Khairy ke dalam UMNO dijangka memberi momentum baharu kepada hala tuju parti itu yang kini berusaha menambat kembali sokongan orang Melayu, khususnya anak-anak muda.
Pada Januari 2023, Khairy dipecat dari UMNO ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15, namun sejak itu, beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya kepada UMNO.
Pada PRU15, Khairy yang dipertaruhkan BN di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh, biarpun tewas, masih mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah dominasi undi besar diperoleh PH di sana.
Majoriti Ramanan merosot kepada 2,693 undi
Biarpun PH berjaya mengekalkan kemenangan di Sungai Buloh apabila calonnya, Datuk Seri R Ramanan menang di kerusi itu, undi majoriti diperoleh lawannya ketika itu merosot mendadak kepada hanya 2,693 undi.
Ia berbeza dengan pencapaian PRU terdahulu termasuk pada 2018, di mana kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada PKR memperoleh majoriti 26,634 undi.
Ketika PRU15, UMNO dan BN berada dalam momentum cukup lemah selepas hanya berjaya menang di 26 kerusi Parlimen, selain gagal meraih sebarang kerusi Parlimen di beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan serta Terengganu.
Khairy mula menyertai Kabinet di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, menggalas portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, dengan rekod cemerlang mengendali Sukan SEA 2017, selain merintis Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) dalam misi negara meraih emas di sukan Olimpik serta Program Pembangunan Bola Sepak Negara.
Beliau juga pernah ditugaskan menjaga portfolio sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, terbabit secara langsung dalam program pembangunan Aplikasi MySejahtera serta perolehan vaksin negara ketika pandemik COVID-19.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khairy diamanahkan sebagai Menteri Kesihatan dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan pemberian vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat. – Berita Harian
