Mahkamah dan Jenayah

Anggota PGA ditempatkan di lokasi kerja perobohan jeti haram

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menyediakan elemen sokongan bagi kerja perobohan 153 jeti haram yang dijangka bermula dalam masa terdekat.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Polis Ijid Landu Binju berkata, meskipun tidak terbabit secara langsung dalam kerja perobohan itu, pihaknya akan menyediakan elemen sokongan dari segi sumber manusia serta logistik sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun katanya, penempatan anggotanya juga adalah sebagai persediaan jika berlaku perkara tidak diingini namun setakat ini, proses ke arah perobohan berjalan lancar.

“Kerja-kerja perobohan pangkalan haram adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Jajahan daerah Tumpat, Pasir Mas, Jeli manakala pelaksanaannya adalah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Bagaimanapun menjadi tanggungjawab kita sebagai elemen sokongan dan lazimnya bantuan akan diperlukan dari segi sumber manusia dan logistik.

“Selain itu, kedudukan jeti haram juga terletak di bawah kawasan tanggungjawab PGA maka sedikit sebanyak perlu juga ambil tahu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memberitahu 153 jeti pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok membabitkan empat daerah akan mula dirobohkan mulai minggu ini secara berperingkat.

Dalam perkembangan lain, Ijid berkata, lima pangkalan haram di Rantau Panjang dikenal pasti sebagai lokasi aktiviti jenayah rentas sempadan dengan 72 kes dicatatkan setakat ini.

Lokasi terbabit adalah Pangkalan Haram Pohon Jambu, Awang Belulang, Gergaji, Kerdap dan Lan Bundle.

“Selain itu sebanyak 12 kes dengan dua tangkapan dibuat atas kesalahan yang dikesan berkaitan dengan penyelewengan petrol sebaik pelancaran BUDI MADANI RON95 (BUDI95) penghujung September lalu,” katanya. – Harian Metro

Related Posts