Negeri

“Saya kehilangan anak yang penuh kasih sayang” – bekas ADUN Permaisuri

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : “Saya kehilangan seorang anak yang penuh dengan kasih sayang dan sangat cakna mengenai keluarga.”

Itu luahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Abd. Halim Jusoh atuk Abd. Halim Jusoh yang kehilangan anak keduanya, Nurhazwani, 34, yang meninggal dunia akibat lemas di kolam sebuah resort di sini, malam tadi.

Berkongsi detik cemasnya, Abd. Halim berkata, ketika kejadian dia bersama isteri
sedang melayani cucunya di kolam kanak-kanak bersebelahan kolam dewasa, lokasi anaknya mandi bersama suaminya.

“Anak saya dan suaminya berada saling berdekatan, kejadian berlaku terlalu pantas, boleh dikatakan tidak sampai satu minit suaminya berpaling ke arah lain, dia kemudiannya tenggelam ke dalam air.

ABD. HALIM JUSOH 

“Menantu saya bergegas menyelamatkan anak saya dan membawanya ke tepi kolam sebelum melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibantu kakitangan resort berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman, hari ini.

Abd. Halim berkata, Nurhazwani kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal oleh pasukan perubatan.

“Dari awal dia disedari lemas, suaminya dan kakitangan resort sedaya upaya menyelamatkan nyawanya kemudian disusuli pegawai perubatan.

“Saya berada disamping anak, memegang erat tangan anak saya setiap masa sehinggalah dia disahkan meninggal dunia. Mereka telah cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawa anak saya, namun Allah lebih sayangkannya dan saya reda dengan ketentuannya,” katanya.

Abd. Halim yang kini menetap di Bangi, Selangor berkata, meskipun Nurhazwani yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang tinggal berjauhan, namun Allahyarham  sering menghubunginya untuk bertanya khabar.

“Sebelum ke resort tersebut, kami sempat  mengadakan Hari Keluarga di daerah ini untuk meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga besar kami.

“Wani (Nurhazwani) lah yang sering merancang apa jua aktiviti dalam keluarga kerana dia seorang yang sangat sistematik dan peranncangannya selalunya menjadi,” katanya.

Sementara itu, di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman, lebih 200 ahli keluarga dan kenalan termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, bekas Adun Jabi Mohd. Iskandar Jaafar dan Adun Kijal, Datuk Razali Idris, turut hadir menziarahi keluarga mangsa. 

Urusan proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 3.30 petang sebelum jenazah dibawa ke Bangi, Selangor kira-kira pukul 4 petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang. – Suara Timur

Related Posts