KUALA TERENGGANU: Rakaman dron seorang pengguna TikTok membuktikan Pantai Batu Buruk di sini tidak selamat kepada pengunjung untuk aktiviti mandi-manda.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok Husin Jambul, kawasan pantai itu mempunyai beberapa kawah air sehingga mengundang kebimbangan orang ramai.
“Seramnya tengok kawah air, tapi ramai saja yang sedang mandi-manda,” menurut kapsyen pada video berkenaan.
Katanya, di ruangan komen, walaupun papan tanda larangan mandi sudah diletakkan, namun tiada pengunjung endahkan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai mengulas keselamatan pengunjung selain menasihati orang ramai mengelak aktiviti mandi-manda di kawasan berisiko.
“Dari tepi pantai memang tak nampak tapi dari atas kita boleh kenal dengan cara lihat atas kawah tak ada ombak,” komen Ariffaizal.
“Petua mandi di pantai, mandi tempat yang ada ombak kerana kawasan tak berombak selalunya ada kawah air,” komen @Abg_T.
“Bagusnya boleh kongsi video mcm ni sebagai peringatan pada semua yang bawa keluarga boleh peka dan elak aktiviti mandi di pantai berisiko,” kata Nur.
“Orang tempatan memang tidak akan mandi di situ sebab banyak faktor. Pantai Batu Buruk hanya tempat bermain wau dan berkuda saja,” komen @amirfaiz91.
Pada 20 Februari 2024, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengesan antara tiga hingga empat kawah air di dasar laut di sepanjang Pantai Batu Buruk.
Kawah air dengan kedalaman kira-kira 3.05 meter dan dipenuhi dengan sampah itu berbahaya kepada pengunjung jika dihanyut ke kawasan itu.
Pengarah JBPM Terengganu Hassan As’ari Omar dilaporkan berkata, kawah air di Pantai Batu Buruk itu dikesan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ketika melakukan selaman dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lokasi itu pada Ahad dan semalam.
“Kita difahamkan, kawah air yang terletak kira-kira 50 meter daripada pesisir pantai itu terbentuk disebabkan berlakunya pusaran air.
“Kerja menyelamat mangsa lemas yang dihanyutkan arus ke dalam kawah itu mungkin terganggu disebabkan keadaan gelap dan dipenuhi sampah,” katanya. – Suara Timur