Mahkamah dan Jenayah Negara

Polis kesan bekas suami wanita maut ditikam untuk bantu siasatan

GUAR CHEMPEDAK: Bekas suami kepada wanita yang ditemukan maut bersama seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, di sini malam tadi sedang dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah berkata, lelaki itu dikesan untuk membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kejadian itu berlaku.

“Kita akan melakukan siasatan secara menyeluruh daripada semua sudut untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dan wanita ditemukan meninggal dunia dengan kesan tikaman di bahagian badan dipercayai dibunuh di Taman Nona, di sini malam tadi.

Wanita berusia 28 tahun itu ditemui di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kereta Proton Wira di hadapan rumah penduduk manakala lelaki itu ditemui tertiarap di atas jalan di taman perumahan itu tidak jauh dari kereta berkenaan.

Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Harian Metro

Related Posts