Negeri

Jenazah suami, isteri lemas bot terbalik dikebumi dalam satu liang

MARANG: Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah suami isteri yang lemas selepas bot gentian kaca dinaiki terbalik, semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating, Merchang, di sini, petang ini.

Jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang bersebelahan kubur ibu Abdul Rahim kira-kira jam 2.40 petang.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan serta penduduk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah pasangan itu dibawa menaiki van jenazah dari Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas proses bedah siasat selesai.

Jenazah dibawa ke Masjid Kampung Pulau Kerengga untuk disembahyangkan.

Pasangan itu meninggalkan enam anak iaitu Nur Nadhirah, 26, Muhammad Aniq Arsyad, 24, Nur Nabilah, 23, Muhammad Haziq, 19, Nur Najihah, 16, dan Nur Nazirah, 15.

Nur Nabilah berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana mahu menjaga adik-adiknya sepenuh masa.

“Saya sebelum ini bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Subang Jaya, Selangor. Saya bercadang pulang untuk bertemu keluarga kerana kali terakhir berjumpa pada Jun lalu.

“Tetapi apabila berlaku kejadian tidak diduga ini, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menetap terus di sini (Pulau Kerengga) untuk menjaga adik-adik,” katanya. – Harian Metro

Related Posts