Negeri

Warga Orang Asli gotong-royong pasang Jalur Gemilang

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Warga Orang Asli Perkampungan Sungai Pergam di sini mengadakan aktiviti gotong-royong memasang Jalur Gemilang di kediaman mereka dan sekitar kampung sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-68, pada tahun ini.

Menurut Tok Batin, Roslan Semail, inisiatif memasang mengibarkan Jalur Gemilang di  kampung itu sebagai menzahirkan rasa cinta kepada negara terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kampung berkenaan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Chukai, di Hulu Kemaman mempunyai kira-kira 300 penduduk daripada kaum Semaq Beri dan Jakun.

PENDUDUK Orang Asli memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-68 di Perkampungan Sungai Pergam, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pada tahun ini penduduk Kampung Sungai Pergam Hulu dan Hilir bergotong-royong memasang lebih 300 Jalur Gemilang di seluruh kampung,” katanya ketika ditemui media petang semalam.

Beliau memberitahu, kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini turut disertai oleh golongan kanak-kanak dan remaja apabila saling membantu memasang bendera di sekitar kawasan kampung termasuk dewan dan pintu gerbang.

ROSLAN Semail bersama golongan remaja selepas memasang Jalur Gemilang di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman, semalam. – Suara Timur/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Roslan, beliau berharap generasi muda di kampung itu dapat meneruskan tradisi berkenaan sempena menyambut Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“Pihak pengurusan kampung turut merancang pelbagai aktiviti bagi penduduk sepanjang Bulan Kebangsaan ini termasuk sukaneka dan Malam Ambang Merdeka pada 31 Ogos nanti,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts