KOTA BHARU: Lambakan produk kosmetik murah dari negara jiran menarik ramai usahawan Kelantan, yang dikenali sebagai founder, untuk menyeberang sempadan bagi membelinya secara pukal sama ada dalam bentuk kotak mahupun kilogram.
Dalam keghairahan mendapatkan bekalan untuk perniagaan, ramai yang tidak mengendahkan sama ada produk itu selamat digunakan atau mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, trend itu membimbangkan kerana kebanyakan produk kosmetik yang dibawa masuk tidak melalui pemeriksaan keselamatan dan tidak berdaftar dengan kementerian.
“Usahawan berlumba-lumba membawa masuk produk ini kerana harga yang menarik dan akses mudah, tetapi mereka gagal mempertimbangkan risiko kesihatan serius yang terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Zaini mengingatkan bahawa semua produk kosmetik mesti didaftarkan dengan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Negara (NPRA) sebelum boleh dipasarkan kepada pengguna.
“Produk yang tidak berdaftar mungkin mengandungi bahan terlarang seperti merkuri atau hidrokuinon, yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, dari 2023 hingga Ogos 2025, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kelantan menjalankan 185 serbuan, membawa kepada rampasan bernilai RM2.1 juta.
“Operasi itu membabitkan 190 jenis produk kosmetik bernilai RM180,000, di samping barangan lain yang tidak berdaftar,” katanya.
Dr Zaini berkata, unit penguatkuasaan juga bekerjasama rapat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA), yang menyerahkan barangan yang dirampas ketika operasi di sempadan.
Katanya, antara 2023 dan Ogos 2025, PGA merampas kosmetik tidak berdaftar bernilai lebih RM842,000.
Beliau memberi amaran bahawa penjualan atau pemilikan kosmetik tidak berdaftar adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000. – Harian Metro