KOTA BHARU: Guna perkhidmatan kurier bagi menghantar pelbagai jenis dadah ‘coklat’ bernilai lebih RM200,000 kepada pelanggan di seluruh negara.
Taktik itu bagaimanapun berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan dadah itu hasil serbuan di premis perkhidmatan kurier di Pengkalan Chepa di sini, pada 15 Julai lalu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata, hasil pemeriksaan disaksikan pekerja perkhidmatan kurier premis itu menemui 14 bungkusan kotak pelbagai saiz berisi dadah.
“Pemeriksaan lanjut menemui ketulan mampat ganja seberat 26.05 kilogram, bunga ganja, pil kuda dan ketamine dengan nilai keseluruhan RM201,781.
“Modus operandi digunakan sindiket adalah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pengedaran dadah ke pasaran.
“Bekalan dadah ini untuk dihantar ke beberapa negeri iaitu Johor, Pahang, Perlis, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya tadi.
Mengulas lanjut katanya, bekalan dadah berkenaan dibungkus menggunakan plastik coklat dan air minuman bagi mengaburi daripada dikesan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pengirim bekalan dadah ini dan kita percaya sejumlah dadah ini dikirim oleh individu yang sama. – Harian Metro