Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pembantu jualan mendakwa telah terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan setelah menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 21 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, individu tersebut memaklumkan mangsa yang berusia 32 tahun telah memenangi hadiah berupa sebuah kerusi Camping daripada laman web Marketplace Malaysia dan hadiah tersebut telah dihantar ke rumah mangsa beberapa hari kemudian.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan “Chill with Your Fest” untuk memberikan maklum balas berkenaan hadiah yang diterima dan turut menerima ganjaran sebanyak RM8.
“Seterusnya, mangsa diminta untuk melaksanakan beberapa tugasan yang diberikan dan telah melakukan sebanyak (9) transaksi berjumlah keseluruhan RM60,943.00 dalam tempoh di antara 27/06/2025 hingga 29/06/2025 ke atas tujuh (7) akaun bank yang berbeza.
“Namun, setelah semua tugasan diselesaikan, mangsa tidak menerima komisen yang telah dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud,” ujarnya. – Suara Timur