Negeri

Kadar tarif air di Terengganu diselaras, bakal berlaku kenaikan harga

KUALA TERENGGANU – Pelarasan tarif air penting bagi membolehkan kerja-kerja penggantian paip-paip lama sera penaiktarafan sistem bekalan air secara menyeluruh di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu juga dapat memastikan perbelanjaan modal (capex) syarikat air negeri dapat dioptimumkan untuk operasi jangka panjang yang lebih berkesan.

“Pelarasan ini akan membolehkan operasi syarikat dan perbelanjaan modal dilaksanakan di Terengganu, termasuk penggantian paip-paip lama serta kerja-kerja menaik taraf kemudahan air yang diperlukan.

“Setakat ini kita boleh katakan begitu dahulu dan kita akan keluarkan kenyataan rasmi pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Madani Rakyat Terengganu di Pasar Payang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mengesahkan telah menerima permohonan pelarasan tarif air daripada 10 negeri termasuk Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, permohonan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) untuk menyemak semula kadar tarif semasa adalah satu langkah tepat ke arah kelestarian perkhidmatan air.

Sebelum ini, SPAN memaklumkan pihaknya sedang meneliti permohonan semakan tarif daripada 10 operator di bawah kawal selian mereka termasuk Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.  – Sinar Harian

Related Posts