MARANG – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pengunduran diri sebagai Yang Dipertua (YDP) Pas Marang.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Marang kali ke-41 yang berlangsung di Rusila, di sini pada Sabtu.
Menurut Ahmad Samsuri, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada barisan kepimpinan baharu untuk menyambung perjuangan parti.
“Saya undur kerana yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan. Kepimpinan ini bukan milik individu, ia milik jemaah,” katanya, memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri pada Ahad.
Timbalan YDP Pas Marang, Datuk Mohd Nor Hamzah, diumumkan sebagai pengganti Ahmad Samsuri dan kini menggalas tanggungjawab sebagai YDP baharu selepas menang tanpa bertanding.
Turut dipilih sebagai Timbalan YDP ialah Datuk Ariffin Deraman manakala jawatan Naib YDP dipangku Wan Zuki Wan Ismail.
Kedua-dua jawatan itu diumumkan menang tanpa bertanding. – Sinar Harian