Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Seorang warden lelaki sebuah pusat tahfiz didenda sebanyak RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menampar seorang pelajar lelaki, April lalu.
Tertuduh, Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 16 tahun dengan cara menampar pada bahagian kiri dan kanan muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.45 petang, pada 26 April lalu di asrama tahfiz itu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan denda sebanyak RM1,200 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.
Difahamkan, tertuduh menampar mangsa selepas mengetahui pelajar itu telah memakan roti tanpa kebenaran.
Roti yang dimakan pelajar itu merupakan sarapan pelajar tahfiz itu untuk keesokkan paginya. – Suara Timur