RAUB: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meluahkan rasa terkejut selepas dimaklumkan bahawa kira-kira 10,521 hektar tanah di daerah ini telah diceroboh secara haram sejak beberapa dekad lalu.
Baginda amat terkejut dengan skala pencerobohan yang begitu besar, bersamaan kira-kira 14,700 padang bola sepak.
“Saya terkejut semasa taklimat oleh UPNP (Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang) apabila dimaklumkan bahawa kira-kira 26,000 ekar (10,521 hektar) tanah telah diceroboh sejak beberapa dekad di Raub.
“Pencerobohan ini mesti dihentikan dan dinoktahkan melalui kaedah yang paling berkesan. Jika dibiarkan berterusan, seolah-olah tiada penguatkuasaan daripada Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah mahupun Pejabat Menteri Besar.
“Mereka yang merancang untuk memohon tanah kerajaan mestilah melalui saluran dan prosedur yang betul,” titah baginda kepada pemberita selepas menghadiri taklimat operasi penguatkuasaan Op Sekat 3.0 di Batu 3, Jalan Sungai Ruan–Sungai Klau, dekat sini hari ini.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan kerajaan Pahang bersikap tegas dalam isu berkenaan dan menyediakan penyelesaian segera demi masa depan.
“Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan, namun saya ingin menegaskan bahawa ramai rakyat marah dengan tindakan (penceroboh) ini,” titah baginda.
Titah Sultan Pahang lagi, walaupun mungkin sukar untuk menoktahkan sepenuhnya pencerobohan tanah yang telah lama berlaku di kawasan itu, usaha menanganinya perlu dilaksanakan secara berperingkat.
“Memang sukar untuk diselesaikan dalam satu langkah, tetapi kita boleh bekerja ke arah itu dan secara beransur-ansur memperhebatkan usaha untuk membanteras pencerobohan tanah secara haram.
“Jika tiada usaha dilakukan, maka pencerobohan tanah akan terus berlaku dan perkara ini tidak boleh dibiarkan,” titah baginda sambil mengingatkan bahawa negeri dan negara ini mempunyai undang-undang.
“Mereka yang ingin memohon tanah kerajaan mestilah melalui saluran dan prosedur yang betul,” tambah baginda.
Mengenai segelintir pihak yang masih mencuba nasib menceroboh tanah kerajaan, Al-Sultan Abdullah menasihatkan rakyat agar mematuhi undang-undang dan tidak cuba mengambil jalan pintas.
“Tindakan sesetengah pihak menceroboh tanah kerajaan adalah tidak adil kepada kerajaan dan juga rakyat lain kerana peneroka haram ini tidak membayar cukai tanah, tidak mengisytiharkan cukai pendapatan dan menafikan peluang orang lain untuk memiliki tanah.
“Kita mahu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran dan pengurusan tanah yang teratur dan berintegriti,” titah baginda lagi. – Berita Harian
Bulan lalu, kerajaan Pahang melancarkan Op Sekat 3.0 iaitu operasi khas bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan dan rizab hutan di Raub.
Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini turut menyifatkan penceroboh tanah sebagai musuh utama negeri, melebihi masalah dadah dan jenayah.
– Berita Harian