Mahkamah dan Jenayah

Wartawan ditahan kes rasuah



PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang wartawan sebuah portal berita dalam talian malam tadi adalah berhubung kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, penahanan itu dibuat bukan berdasarkan pendedahan laporan yang dibuat wartawan berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.

“Wartawan itu ditahan di sebuah hotel di Shah Alam pada pukul 11.30 malam tadi,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengamal media itu dipercayai menerima wang berjumlah RM20,000 daripada ejen pekerja warga asing dan ketika tangkapan dibuat wang tersebut ada bersama lelaki berkenaan.

Terdahulu, wartawan itu yang memakai baju lokap dengan kedua-dua tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret, di sini pada pukul 9.30 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

Majistret Baveniyah R Jothi membenarkan lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan selepas permohonan dibuat pihak SPRM pagi tadi. – Kosmo

KWSP umum dividen 6.3 peratus untuk Simpanan Shariah, Konvensional

SUNGAI BULOH:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, jumlah agihan bagi Simpanan Shariah melibatkan RM 10.19 bilion, dan RM63.05 billion bagi Simpanan Konvensional.

“Keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2024 adalah RM73.24 bilion,” katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini hari ini.

Bagi tahun 2023, KWSP memberikan dividen 5.4 peratus untuk Simpanan Shariah dan 5.5 peratus bagi Simpanan Konvensional, melibatkan jumlah agihan keseluruhan RM57.81 bilion.

Kadar dividen tertinggi pernah diberikan KWSP adalah 8.5 peratus, dari tahun 1983 hingga 1987. – Kosmo

Related Posts