PETALING JAYA: Kerajaan akan memastikan ‘kek’ ekonomi diraih negara digunakan untuk pembangunan meliputi segenap lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim jelas menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.
Katanya, Seri Paduka turut menzahirkan keprihatinan terhadap usaha berterusan kerajaan membawa masuk pelbagai peluang pelaburan agak kemajuan ekonomi negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat.
“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Madani akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran Facebook miliknya selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 (2025) hari ini.
Anwar berkata, dalam titah Yang di-Pertuan Agong, baginda turut menyentuh menggunapakai teknologi tinggi dan terkini dari aspek digitalisasi dan keselamatan siber.
“Justeru patik percaya, ini akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaiktaraf sepenuhnya.
“Memanjatkan doa dan harapan semoga bumi bertuah Malaysia ini kekal aman makmur dan berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Tuanku,” katanya. – Utusan