PUTRAJAYA: Bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara Tahun Satu pula bermula pada usia enam tahun.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.
“Maknanya mulai tahun depan, (biarpun) kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia, (maka) kita tetapkan masih boleh masuk Tahun Satu (pada usia) tujuh tahun.
“Tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia daripada sekarang, supaya anak-anak umur lima tahun masuk prasekolah. Prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan, seluruh sistem prasekolah itu kita sudah minta Kementerian Pendidikan (KPM) ambil alih dan selaraskan,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.
Anwar berkata, persiapan segera perlu dilakukan KPM dalam menerima perubahan kepada sistem baru pendidikan negara.
“Sebab itu saya arah mulai sekarang hal yang diumumkan itu (memerlukan) tindakan cepat dan segera oleh kementerian dan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi untuk pastikan kemudahan asas itu ditambah.
“Kalau tanya unjuran KPM semua 2029, 2030. Jadi saya kata bagus, cuma kerana saya yakin dengan keupayaan kedua-dua kementerian ini, semua kita akan percepatkan. Semua ‘fast track’ kerana negara ini mampu menjadi negara yang berjaya,” katanya. – Berita Harian
