Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pemenang pingat emas acara scratch wanita pada Sukan SEA 2025, Nur Aisyah Mohamad Zubir menyimpan cita-cita untuk menaiki podium pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 depan.
Gadis berusia 28 tahun dari Kampung Banggol Kiri, Chukai berkata, kemenangan pingat emas di Sukan SEA 2025 itu membangkitkan semangatnya untuk melakukan kejutan di kejohanan lumba basikal bertaraf antarabangsa itu.
Menurutnya, walaupun cabaran dalam dua kejohanan terbesar itu cukup sengit namun dia tetap meletakkan harapan untuk meraih emas dalam kayuhan tersebit.

“Pada masa ini, saya mengikuti latihan sepenuh masa bersama pasukan kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan untuk persediaan menyertai Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Jepun.
“Kalau boleh saya selepas ini, nak pergi lebih jauh, saya nak bawa Jalur Gemilang dan nama negara Malaysia ke seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Kiri di sini hari ini.
Pada Sukan Sea 2025 di Thailand baru-baru ini, Nur Aisyah turut memenangi dua pingat perak dalam acara berbasikal lebuh raya dan kriterium wanita.
Mengimbas penglibatan awalnya dalam sukan berbasikal, Nur Aisyah berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam sukan itu ketika berada di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok sebelum menjalani latihan bersama Chukai Cycling Club.

Menurutnya, beliau kemudian terpilih mewakili Terengganu ketika di Tingkatan Empat dan selepas itu menyertai beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2014, 2016 dan 2018.
“Daripada tiga kejohanan SUKMA yang disertai itu saya berjaya merangkul 12 pingat emas dalam pelbagai kategori dipertandingkan,” katanya.
Nur Aisyah berkata, pada tahun 2019 dia menyertai pasukan negara dan mendapat pendedahan awal dengan menyertai beberapa pertandingan lumba basikal di dalam dan luar negara termasuk Sukan Olimpik 2024 Paris dalam acara lebuh raya.
Selain itu, beliau menambah, dia turut menjadikan raja dan ratu berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Fatehah Mustapa yang juga berasal dari Terengganu, sebagai idola dan berhasrat mencapai kejayaan setaraf mereka.
Malah, tambahnya, kedua-dua atlet
juga sentiasa memberi tunjuk ajar dan menyuntik semangat untuk memastikan dia terus berjaya dalam sukan berkenaan.
“Kalau mereka boleh berjaya, kenapa saya tidak. Saya sentiasa mencabar diri dan percaya suatu hari nanti saya juga mampu mencapai tahap seperti mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata, sokongan padu daripada ibu bapanya, Mohamad Zubir Sulong, 57, dan Rapeah Said, 56, turut menjadi pembakar semangat utama sepanjang penglibatannya dalam sukan berbasikal.
“Walaupun saya berasal daripada keluarga nelayan dan hidup serba sederhana, saya berazam untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik melalui kejayaan dalam sukan yang saya cintai ini,” katanya. – Suara Timur
