PUTRAJAYA: Kerajaan sudah melunaskan segala keperluan kewangan berkaitan isu membabitkan 10 ladang FELDA seluas kira-kira 15,000 hektar di Terengganu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata hal itu dijelaskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada mesyuarat Kabinet hari ini.
Fahmi berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Terengganu untuk memastikan apa yang sudah dilunaskan sebelum ini perlu disusuli pihak kerajaan negeri.
“Perdana Menteri menyatakan semua keperluan kewangan berkaitan tanah sudah dilunaskan, dibayar sebelum ini.
“Tapi ada beberapa perkara tidak disusuli oleh pihak kerajaan negeri dan petang ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ada perbincangan dengan kerajaan Terengganu untuk memastikan apa yang sudah kerajaan Persekutuan lunaskan, kini perlu disusuli oleh pihak kerajaan negeri.
“Itu sangat penting,” katanya ditemui media selepas menghadiri Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Ahad lalu, Kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.
Terdahulu hari ini, Dr Azman turut memaklumkan mesyuarat di Putrajaya itu membabitkan Jawatankuasa Task Force Tanah Felda Kerajaan Negeri Terengganu dengan Johan. – Berita Harian
