Home NasionalBahasa Melayu diwajibkan dalam semua urusan rasmi kerajaan

Bahasa Melayu diwajibkan dalam semua urusan rasmi kerajaan

oleh suara timur

SHAH ALAM: Kerajaan menegaskan penggunaan bahasa Melayu perlu diutamakan dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam.

Ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] serta Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu surat edaran pada Khamis memaklumkan, jabatan itu sebelum ini turut mengeluarkan Surat Edaran JPA.100-9/1/1 JLD.2 (80) bertarikh 29 Oktober 2025 berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada 8 Julai, memberikan penekanan terhadap perkara berkenaan dan mengarahkan supaya bahasa Melayu diutamakan secara mutlak dalam setiap pembentangan, klip video rasmi, persembahan montaj, video korporat serta apa-apa bahan komunikasi bagi menyebarkan dasar kerajaan.

banner

JPA menjelaskan, langkah memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam akan dipertingkatkan, khususnya dalam pembentangan di mesyuarat rasmi serta penganjuran program seperti latihan, seminar dan lain-lain.

“Pengauditan dan pemantauan terhadap pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu di kementerian serta jabatan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap arahan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, surat edaran itu dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. – Sinar

Tinggalkan komen