KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Puchong hari ini membuat keputusan tegas memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, susulan kenyataan tidak beradab dan menghina Datuk Seri Najib Razak oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, baru-baru ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin menegaskan tindakan itu diambil ekoran Bee Yin yang gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam walaupun diberikan peluang untuk berbuat demikian.
“Maka dengan ini UMNO Bahagian Puchong secara rasmi dan muktamad memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta,” tegas UMNO Puchong dalam surat dua muka surat, hari ini.
Surat berkenaan turut dikemukakan kepada Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajidi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Menurut Mohamad Yusof, keputusan ini meliputi peringkat Parlimen Puchong serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Seri Serdang dan DUN Seri Kembangan.
UMNO Puchong menegaskan, pihaknya tidak lagi akan mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras aktiviti politik atau kempen, mahupun bekerjasama dalam strategi pilihan raya dengan PH Puchong.
Mohamad Yusof menambah bahawa UMNO Bahagian Puchong juga menolak sebarang persefahaman tidak rasmi atau “gentleman’s agreement” dengan PH, serta berhak mengambil pendirian sendiri dalam semua isu tempatan.
“UMNO Bahagian Puchong tidak bersetuju dan menolak sikap, kenyataan serta tindakan pemimpin PH Puchong, UMNO Bahagian Puchong berpandangan bahawa maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu telah dicabar dan tidak dihormati,” tegas kenyataan itu.
Walaupun tindakan ini menunjukkan bantahan keras terhadap PH Puchong, UMNO menekankan ia tidak bermakna parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional atau negeri. – Malaysia Gazette
