Home NasionalPemandu ambulans maut, tiga cedera nahas di Lebuhraya PLUS

Pemandu ambulans maut, tiga cedera nahas di Lebuhraya PLUS

oleh suara timur

KLUANG: Seorang pemandu ambulans maut manakala tiga wanita cedera selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Renggam kira-kira jam 1.10 tengah hari pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), M Nasir A Shah berkata, sebuah jentera FRT bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan melibatkan ambulans yang terbabas. Insiden tersebut melibatkan empat mangsa iaitu seorang pemandu lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.

“Hasil pemantauan mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

banner

Beliau berkata, PKO bertindak segera mengalihkan mangsa-mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dikenali sebagai Nurazrein Zainal, 43,  merupakan Pembantu Khidmat Am Gred H1, Hospital Segamat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi tersebut tamat jam 2.24 petang,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan lanjut.

“Maklumat lanjut akan maklum kemudian,” katanya. – Sinar Timur

Tinggalkan komen