KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membatalkan dan menyenarai hitam
madrasah dan pondok yang menjadi pusat pengubahan wang haram atau cuci duit oleh pengasas produk kosmetik sebagaimana didedahkan oleh pihak polis semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud berkata, walaupun perkara tersebut tidak berlaku hasil siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), namun kerajaan negeri tidak akan berkompromi.
Katanya, jika mempunyai bukti lengkap pihak Jaheik serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan panggil segera untuk menjalan siasatan dan membatalkan segera.
“Kita juga akan minta pihak polis mengambil tindakan tegas sekiranya benar ada pondok atau madrasah yang terbabit dalam pengubahan wang haram.
“Yang ada aduan kepada Jaheik berkaitan dengan ajaran yang dikhuatiri menyeleweng, contoh sebuah pondok di Tumpat. Aduan itu kita terima sejak 2022 dan pihak berkuasa agama terus menjalankan siasatan, tapi tidak jumpa sehinggalah baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Asri memberitahu, setakat ini terdapat 64 pondok di seluruh negeri dimana 50 daripadanya berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), manakala selebihnya belum berdaftar.
Katanya, pada masa institusi pondok turut berdaftar dengan Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB).
“Untuk makluman, setakat ini sebanyak 145 institusi pengajian Islam merangkumi pondok, maahad tahfiz dan sekolah agama berdaftar dengan MAIK,” ujarnya.
Mohd. Asri berkata, pihaknya sentiasa turun padang dan mengadakan pertemuan dengan guru-guru pondok selain pemantauan oleh Jaheik dan MAIK.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, pengasas produk kosmetik di negeri ini dikesan menjadikan madrasah-madrasah tidak berdaftar di Kelantan sebagai tempat pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil risikan pihaknya mendapati separuh daripada madrasah di Kelantan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). – Utusan