Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Tindakan seorang lelaki memandu lori secara bahaya bagi mengelak ditahan polis mengundang padah selepas dia berjaya diberkas polis petang semalam.
Video kejadian itu turut sempat dirakamkan oleh pengguna jalan raya yang melihat kejadian itu dan tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi memberitahu, kejadian berlaku di Jalan Kilang Kerteh 2, di sini, pada pukul 12.10 tengah hari.
Menurutnya, ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis sedang melakukan rondaan rutin di laluan tersebut.
“Kereta peronda polis kemudiaanya terserempak dengan sebuah lori yang membawa muatan buah kelapa sawit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan mengarahkan pemandunya yang berumur 47 tahun untuk memberhentikan kenderaannya.
“Namun, pemandu lori terbabit bertindak memandu lorinya secara berbahaya ke kiri dan ke kanan jalan bagi mengelak ditahan.
“Setelah mengekori sejauh hampir satu kilometer, lori itu kemudiannya membelok ke kiri jalan dan melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit,” katanya.
Maizura berkata, suspek telah ditahan pada pukul 7 petang setelah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk memberi keterangan.
Tambahnya, pada masa yang sama, polis turut merampas sebuah lori manakala lelaki terbabit direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” ujarnya. – Suara Timur