KOTA KINABALU: Empat pakar patologi termasuk seorang dari Semenanjung Malaysia menjalankan bedah siasat ke atas mayat Zara Qairina Mahathir.
Berbeza laporan awal bahawa prosedur itu bermula jam 9 pagi, peguam Hamid Ismail menjelaskan ia ditangguhkan sementara menunggu pakar perunding patologi forensik Dr Khairul Anuar Zainun dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Dr Khairul tiba di hospital pada jam 10.55 pagi.
Sebaik tiba, beliau disambut sorakan ratusan orang ramai yang turut berkumpul di perkarangan hospital seawal jam 7 pagi.
Tiga lagi pakar patologi adalah dari sini termasuk Dr Jessie Hiu.
Ketika ditanya sebab untuk membawa masuk pakar dari luar, Hamid menjelaskan bahawa polis mahu memastikan semua elemen keadilan untuk Zara Qairina dipenuhi.
“Jadi mereka membawa masuk seorang pakar dari Semenanjung (Malaysia) untuk menangkis sebarang dakwaan negatif,” katanya.
Hamid berkata, Dr Hiu juga sudah memberi taklimat kepada ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, mengenai proses itu.
“Dr Jessie sedang memberi penjelasan kepada ibu si mati mengenai bedah siasat itu. Ia mungkin mengambil masa berjam-jam, mungkin empat atau lima jam, kita tidak tahu.
“Selepas proses itu, Dr Hiu akan memberi taklimat kepada keluarga mengenai penemuan bedah siasat. Selepas itu, mayat akan dibawa pulang ke Sipitang oleh polis untuk dikebumikan semula,” katanya.
Mayat pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital pada jam 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang pada jam 7.30 malam.
Mayat Zara dihantar ke Jabatan Radiologi untuk Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) sebelum disimpan di Jabatan Forensik Perubatan.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth. – Harian Metro