Home Nasional‘Drama’ 30 minit enggan buka pintu, duda dan isteri orang ditangkap khalwat

‘Drama’ 30 minit enggan buka pintu, duda dan isteri orang ditangkap khalwat

oleh suara timur

JOHOR BAHRU: Sepasang lelaki dan wanita disyaki berkhalwat ditahan selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) terpaksa mengugut untuk memotong mangga pintu sebuah rumah teres dalam serbuan awal pagi, di sini.

JAINJ memberitahu dalam operasi kira-kira jam 3 pagi itu, penguat kuasa menerima aduan awam sebelum menuju ke lokasi dan mendapati pagar rumah tidak berkunci, manakala pintu utama berkunci serta pintu jeriji besi dikunci.

“Semasa tiba di rumah itu, kelihatan pintu pagar tertutup tetapi tidak berkunci. Kelihatan sebuah kereta dan motosikal berhampiran rumah. Penguat kuasa masuk ke dalam pagar dan mendapati pintu depan berkunci dan jeriji pintu dikunci.

“Penguat kuasa ketuk dan memanggil kuat. Setelah 30 minit menunggu, pintu masih tidak dibuka. Penguat kuasa boleh selak langsir tingkap dan mendapati ruang tamu gelap.

banner

“Penguat kuasa mengeluarkan pemotong besi untuk memotong mangga kunci sambil memberi amaran kepada penghuni supaya bekerjasama tetapi tiada jawapan.

“Selang beberapa minit kemudian, seorang wanita menyahut dan turun dari tingkat atas untuk membuka pintu,” menurut kenyataan tersebut.

Jelasnya, wanita itu memakai seluar panjang dan t-shirt lengan panjang dan kelihatan terkejut melihat penguat kuasa sudah berada depan pintu rumah.

JAINJ memaklumkan, wanita berkenaan menghulurkan kunci dari tingkap kepada penguat kuasa untuk buka kunci dari luar.

Penguat kuasa masuk ke ruang tamu yang masih gelap dan pemeriksaan mendapati terdapat satu bilik di tingkat bawah namun tiada orang ditemui.


Pihak penguat kuasa naik ke tingkat atas yang mempunyai tiga bilik dan pemeriksaan di bilik utama menemukan seorang lelaki berdiri sebelah almari memakai seluar pendek dan t-shirt.

Pemeriksaan dalam bilik wanita itu mendapati cadar katil berkembur dan selimut dalam keadaan bergumpal.

“Pasangan ini mengaku hanya berdua-duaan, tiada hubungan mahram dan bukan suami isteri.

“Lelaki itu berumur 30-an, berstatus duda dan bekerja di Johor Bahru. Wanita pula umur 20-an berstatus isteri orang dan bekerja satu tempat dengan lelaki.

“Bidang kerja kedua-duanya banyak bekerja di luar waktu pejabat termasuk buat seminar, mencari pelanggan, menambah ahli dan perkhidmatan selepas jualan,” ujar JAINJ.

Pada hari kejadian, wanita tersebut tidak pulang ke rumah sendiri yang jaraknya kira-kira 50 kilometer tetapi balik ke rumah ibu bapanya yang kebetulan tiada di rumah beberapa hari ketika itu kerana ada urusan.

JAINJ mendedahkan, kesempatan itu diambil lelaki tersebut untuk berkhalwat dengan wanita berkenaan yang mendakwa ada masalah dengan suami dan dalam proses cerai.

Hasil semakan rekod, menunjukkan memang wanita ini ada fail kaunseling di pejabat kadi.

“Tidak dapat dipastikan sama ada masalah pergolakan rumah tangga ini disebabkan oleh kehadiran lelaki itu atau tidak.

“Apabila ditanya kepada lelaki, kenapa dia datang ke rumah itu, dia kata untuk hantar balik wanita itu sebentar saja. Sebelum itu mereka bersama-sama mengikuti kursus malam untuk pelan perniagaan dan terus ke rumah itu,” menurut JAINJ lagi.

Tambah JAINJ, pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat. – Sinar Harian

Tinggalkan komen