Home NasionalMahkamah Rayuan Paris batal sepenuhnya Award Akhir kes tuntutan waris Sulu

Mahkamah Rayuan Paris batal sepenuhnya Award Akhir kes tuntutan waris Sulu

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir sebanyak AS$14.9 bilion dikeluarkan penimbang tara dalam kes Sulu, Gonzalo Stampa pada Februari 2022.

Mahkamah turut memerintahkan penuntut daripada kumpulan Sulu supaya membayar kos sebanyak EUR200,000 (RM957,140) kepada Malaysia.

Sekretariat Khas Bilik Gerakan Sulu dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu diterima kerajaan Malaysia malam tadi.

Sekretariat itu, berkata dalam keputusannya, mahkamah mengesahkan Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Award Akhir itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah dan mengikat Malaysia, justeru membatalkan keseluruhan award berkenaan.

banner

“Malaysia percaya kemenangan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas oleh pihak yang mendakwa sebagai penuntut Sulu (dan penaja litigasi mereka, Therium) untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia.

“Walau apapun, Malaysia tetap bersedia untuk meneruskan perjuangannya di mana-mana mahkamah yang dibawa oleh pihak yang mendakwa sebagai penuntut Sulu,” katanya, hari ini.

Pada 6 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Paris menolak pengiktirafan dan penguatkuasaan Award Separa, yang kononnya dikeluarkan Stampa pada 25 Mei 2020 atas alasan sama.

Seterusnya, pada 6 November 2024, Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran difailkan pihak yang mendakwa sebagai penuntut Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris.

Sekretariat itu berkata, kerajaan Malaysia teguh dengan komitmennya untuk mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan nasional Malaysia daripada tuntutan tidak berasas yang dibuat dalam kes penipuan oleh kumpulan Sulu.

Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Agung Sepanyol menolak rayuan Stampa, sekali gus mengekalkan sabitan atas kesalahan menghina mahkamah.

Keputusan sebulat suara lima hakim pada 8 Oktober itu menandakan tamatnya prosiding jenayah terhadap Stampa di Sepanyol.

Sebelum ini, sabitan sama dijatuhkan oleh Mahkamah Jenayah Madrid pada 22 Disember 2023, berpunca daripada tindakan Stampa dalam kes berkenaan.

Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.

Pada 28 Februari 2022, Stampa membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir AS$14.9 bilion.

Bagaimanapun, ia adalah hasil daripada timbang tara yang tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Sepanyol.

Pembatalan pelantikan kehakiman Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu dibuat Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021. – Berita Harian

Tinggalkan komen