Negeri

PULARA 2025 catat sejarah, UPSI rekod penyertaan terbesar berbusana tradisional

Oleh BAZLI RAZAK

LUMUT: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta sejarah apabila mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Largest Participation Wearing Traditional Attire in a Gathering’ sempena penganjuran Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11 di sini, malam tadi.

Rekod bersejarah itu menyaksikan lebih 20,000 penyertaan yang terdiri daripada warga universiti, pelajar antarabangsa, seniman, pendidik dan pencinta budaya yang tampil dalam pelbagai busana tradisional penuh warna-warni, mencerminkan keindahan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat seni dan budaya sebagai wahana perpaduan, malah memperkukuh peranan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjunjung nilai warisan bangsa.

Dr. Zambry Abdul Kadir (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Festival PULARA 2025 di Dataran Lumut, Perak.  – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kita berhimpun pada malam yang cukup istimewa ini dengan pelbagai busana yang cantik dan menawan, menghimpunkan para cendekiawan, seniman, pendidik dan pencinta bahasa dari seluruh pelusuk tanah air bahkan dari seberang lautan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PULARA 2025, malam tadi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang hadir merasmikan festival tersebut.

PERSEMBAHAN peserta pada Festival PULARA Ke-11 2025 di Dataran Lumut, Perak. – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Katanya, kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi yang juga pengasas PULARA membuktikan bahawa seni dan budaya tidak pernah tersisih daripada landasan ilmu di peringkat universiti.

Festival PULARA ke-11 berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Program berprestij itu menampilkan lebih 100 persembahan seni budaya melibatkan pelbagai institusi, 50 gerai pameran serta jualan oleh 18 institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi kementerian, selain penglibatan dua Sasterawan Negara serta 82 pelajar antarabangsa dari 19 negara.

PERSEMBAHAN peserta pada Festival PULARA Ke-11 2025 di Dataran Lumut, Perak. – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Antara pengisian utama termasuk Program Narasi dan Puncak Puisi PULARA yang menampilkan Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) bertemakan Persilatan: Ilmu, Budaya dan Jati Diri, Program Lestaria yang memfokuskan bengkel seni dan budaya, serta Titian Budaya, program keluarga angkat bagi pelajar antarabangsa.

Selain itu, Karnival Jualan Rahmah turut diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Wakil MBOR menyerahkan sijil Malaysia Book of Records kepada Md Amin Md Taff
(empat dari kiri) pada majlis Perasmian Festival PULARA 2025 di Dataran Lumut, Perak. – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

“Kejayaan ini milik bersama. Saya amat menghargai komitmen semua pihak yang menjayakan PULARA 2025 sehingga mencipta rekod Malaysia Book of Records,” ujar beliau.

Festival PULARA turut diserikan dengan persembahan oleh artis terkenal seperti Sabri Yunus, Harry Khalifah, Sharifah Khasif, kumpulan Devotees, Kopratasa, Floor 88 dan Combi, yang menghiburkan ribuan pengunjung di pentas utama Lumut. – Suara Timur

Related Posts