Negara

Kasihan nasib mu Aminah, kini dijaga bapa Bangladesh

SEREMBAN: Nasib dan masa depan seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) kini dalam keadaan samar susulan kematian ibunya, Ahad lalu.

Ibunya, Allahyarham Nur Shaillah Revathy Abdullah, 35, yang juga seorang mualaf meninggal dunia akibat masalah jantung dan kanak-kanak itu, Siti Aminah Mohammad Ala Uddin, tujuh tahun, kini dijaga bapanya seorang warga Bangladesh.

Tambah membimbangkan apabila bapanya, Mohammad Ala Uddin, 39, hanya pemegang pas lawatan sementara (PLS) yang sah sehingga 27 Mei depan selain tidak layak bekerja di negara ini.

Mohammad Ala Uddin berkata, anaknya seorang warganegara Malaysia dilahirkan tanpa rahim, menghadapi masalah pendengaran, mempunyai satu buah pinggang dan kecacatan pada tangan kanan.

“Saya balik ke Bangladesh sebelum ini dan masuk semula ke Malaysia pada hujung April lalu untuk memohon PLS jangka panjang.

“Namun, selepas mengambil borang dan melengkapkan semua dokumen, isteri pula meninggal dunia pada Ahad lalu dan kini saya yang menjaga anak.

“Keadaan agak rumit untuk permohonan PLS kerana isteri sudah meninggal. Saya bimbangkan masa depan anak sekiranya saya ditahan atau terpaksa balik ke negara asal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Senawang di sini, semalam.

Dia yang berkahwin pada 2017 kini tidak layak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan atas nama anaknya.

Ditanya alasan dia tidak pernah memohon PLS jangka panjang bagi suami kepada warganegara, lelaki ini memberikan beberapa sebab namun sukar difahami kerana tidak fasih berbahasa Melayu selain penggunaan terma peraturan imigresen yang tidak tepat.

Bagaimanapun katanya, dia pernah membuat permohonan sebelum ini, namun ditipu oleh seorang lelaki sebanyak RM7,500 dan permohonan tidak dibuat.

Jirannya, Nor Azlina Helan Harold, 47, berkata, Allahyarhamah bekerja sebagai tukang cuci dan dia sering membantu mengambil Siti Aminah di sekolah selepas waktu persekolahan.

“Mereka ini orang susah dan lebih susah selepas isterinya meninggal dunia kerana Aminah kini dibawah jagaan bapanya seorang warga Bangladesh,” katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Zulkifli Muhamed berkata, dalam situasi itu pihaknya terpanggil untuk membantu khusus hal berkaitan masa depan Siti Aminah.

“Justeru, PCRS komited untuk membantu lelaki ini, bukan sahaja dari aspek bantuan hidup dan pengesahan tinggal dalam negara, bahkan yang terpenting dalam soal memastikan anak ini akan mendapat perhatian lebih termasuk pegangan agamanya juga,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan membantu bapa tunggal berkenaan membuat permohonan mendapatkan PLS jangka panjang di Jabatan Imigresen Putrajaya dalam waktu terdekat.

Ujarnya, sekiranya lelaki itu tinggal di sini secara tidak sah, dibimbangi akan memberi kemudaratan kepada anaknya yang berstatus warganegara selain terputus sumber pendapatan kerana tidak boleh bekerja. – Harian Metro

Related Posts