Negara

2,000 pokok ketum ditanam atas tanah rizab kerajaan dimusnahkan

TELUK INTAN: Polis memusnahkan sebanyak 2,000 pokok ketum menerusi Operasi Khas Ketum Hilir Perak yang dijalankan di sekitar Mukim Labu Kubong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, operasi bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi itu menyasarkan pokok ketum yang ditanam secara haram di kawasan tanah rizab kerajaan seluas kira-kira lapan hektar.

Menurut beliau, serbuan di 19 lokasi itu adalah hasil risikan serta aduan orang awam mengenai aktiviti penanaman ketum secara tidak sah.

“Hasil risikan mendedahkan kewujudan pokok ketum di sepanjang tanah rizab kerajaan sejauh lebih kurang 5.4 kilometer di kawasan Pengkalan Daun dan kira-kira 3 kilometer di kawasan Sungai Keroh.

“Sebanyak 19 lokasi telah dikenal pasti sebagai sasaran utama bagi operasi pemusnahan menyeluruh pokok ketum,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Bakri berkata, operasi tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah Hilir Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut beliau, pihak polis turut mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama penghulu Mukim Labu Kubong, pemimpin masjid, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta tok batin sehari sebelum operasi dijalankan.

“Langkah ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada komuniti setempat, mengelakkan sebarang ancaman yang tidak diingini serta memperkukuh kerjasama dalam membanteras kegiatan berkaitan ketum,” katanya.

Bagi tahun 2024, seramai 76 individu telah ditahan dengan 31 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan melibatkan ketum. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 117.28 liter air ketum dan 79 kilogram daun ketum telah dirampas.

Manakala dari Januari hingga April 2025, sebanyak tujuh kes dilaporkan dengan 25 individu ditahan, melibatkan rampasan 147.5 liter air ketum dan 24 kilogram daun ketum.

“Secara keseluruhan, seramai 101 orang telah ditangkap di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Sabitan tertinggi direkodkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan melibatkan denda sebanyak RM50,000,” jelas beliau.

Tambah Dr Bakri, kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi teknikal yang terlibat dalam operasi ini membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan tanah kerajaan tidak disalah guna serta membendung risiko penyalahgunaan ketum dalam kalangan masyarakat. – Sinar Harian

Related Posts