KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki ditahan selepas merosakkan kenderaan rasmi milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Rabu lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 9.45 pagi di sekitar kawasan tempat letak kereta di bangunan Pusat Niaga Paya Keladi, di sini ketika pegawai sedang menghadiri kursus pengurusan aset.
Menurutnya, kakitangan terbabit mendapati cermin hadapan retak, cermin sisi dan cermin penumpang sebelah kanan pecah dipercayai akibat perbuatan khianat.
Katanya, laporan polis dibuat dan susulan siasatan termasuk semakan terhadap Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan kejadian membolehkan seorang suspek lingkungan usia 50-an ditahan pada 2 petang hari kejadian.
“Lelaki itu dipercayai menggunakan objek berbentuk batang kayu untuk merosakkan kenderaan JPJ. Motif kejadian masih dalam siasatan.
“Kita memandang serius tindakan yang tidak bertanggungjawab ini kerana ia bukan sahaja melibatkan kerugian harta benda kerajaan, malah boleh menjejaskan kelancaran urusan rasmi serta keselamatan anggota jabatan,” katanya pada sidang media di pejabat JPJ Terengganu, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD), Zamri berkata, penguatkuasaan pemasangan alat keselamatan itu ke atas kenderaan perdagangan berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.
Katanya, fasa satu pengesahan kefungsian SLD membabitkan bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) dan melebihi lapan penumpang tidak termasuk pemandu serta kenderaan barangan yang BDM melebihi 3,500kg.
Untuk itu katanya, Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan (OKGKP) yang bermula sejak 1 September dilaksana secara berterusan hingga 31 Disember, memfokus kepada kesalahan dilakukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya. – Harian Metro