Negara

Subsidi ditamatkan: Kerajaan jamin harga telur kekal terkawal

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa harga pasaran bagi telur ayam kekal terkawal meskipun subsidi bagi komoditi itu ditamatkan sepenuhnya mulai esok.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa langkah penstrukturan semula subsidi itu merupakan sebahagian daripada pendekatan penyasaran secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bekalan telur kekal stabil dan mampu milik, pihak industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas yang akan ditawarkan pada harga lebih berpatutan di pasaran.

“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat terus memperoleh akses kepada makanan asas yang mencukupi dan berkualiti.
“Penstrukturan ini tidak bermaksud membiarkan harga melambung. Malah, program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah turut digerakkan secara meluas di seluruh negara termasuk di premis Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, langkah ini juga membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan subsidi dan menyalurkan penjimatan kepada program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani.

Sepanjang tempoh Februari 2022 hingga Disember 2024, hampir RM2.5 bilion telah dibelanjakan bagi menampung subsidi telur ayam dalam usaha kerajaan membantu rakyat ketika krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

“Namun, kini dengan keadaan pasaran yang semakin stabil, subsidi disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KPKM turut menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkenaan isu harga dan bekalan telur ayam melalui e-mel pro@kpkm.gov.my atau hotline 03-8000 8000.

“Kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan terus melaksanakan dasar yang mengutamakan kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.- Sinar Harian

Related Posts