SETIU: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret Setiu, Terengganu atas pertuduhan membuat laporan palsu terhadap usahawan hartanah, Datuk Azlan Al Amin berhubung dakwaan penipuan urusan hartanah.
Lelaki tersebut dituduh membuat laporan palsu itu kepada Penolong Pegawai Penyiasat Polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pada 4 September 2022, pukul 3 petang.
Bagaimanapun tertuduh Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Setiu di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan tertuduh telah memberikam laporan palsu berhubung cap jari arwah bapanya.
Pengawai polis itu menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang melakukan siasatan terhadap satu kes penipuan yang dilakukan Azlan Al Amin, 39, setelah tertuduh membuat laporan tersebut.
Siasatan terhadap Mohamad Azlan tidak akan dilakukan oleh penjawat awam tersebut sekiranya fakta yang sebenar diketahui.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan bagi serahan dokumen.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan diarah melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin. – Suara Timur
