KUALA LUMPUR: Bukan lagi sekadar berhadapan cuaca luar jangka sebaliknya negara kini sedang berdepan krisis iklim yang semakin sukar diramal.
Cuaca panas membahang, hujan lebat mengejut, banjir kilat berulang dan ribut petir tidak mengira musim bukan lagi kejadian terpencil.
Malah, ia menjadi petanda jelas bahawa perubahan iklim bukan lagi isu masa depan, tetapi cabaran masa kini.
Pensyarah Kanan Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ricky Anak Kemarau berkata, faktor utama krisis iklim yang dilanda dunia ketika ini adalah disebabkan Gas Rumah Hijau (GHG).
GHG seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4) dan nitrus oksida (N2O) adalah penyebab utama pemanasan global kerana ia berperanan memerangkap haba di atmosfera melalui proses yang dikenali sebagai kesan rumah hijau.
“Karbon dioksida contohnya dipercayai boleh bertahan antara 100 hingga 1,000 tahun dalam atmosfera, tetapi ia akan berubah berdasarkan kitaran.
“Metana adalah 84 kali lebih kuat daripada karbon dioksida dalam jangka masa 10 hingga 12 tahun manakala klorofluorokarbon bertahan lebih 100 tahun dan ia juga merosakkan lapisan ozon,” katanya.
Ricky berkata, gas-gas itu menyerap sinaran matahari dan menahannya di dalam atmosfera bumi, menyebabkan suhu global meningkat secara beransur-ansur.
“Peningkatan mendadak paras GHG berpunca daripada aktiviti pembakaran bahan api fosil untuk penjanaan tenaga (arang batu menyumbang 30 hingga 40 peratus pelepasan karbon dioksida global).
“Ia juga berpunca daripada sektor perindustrian dan pengangkutan serta penebangan hutan, yang bukan sahaja melepaskan karbon simpanan tetapi juga menghapuskan penyerap karbon semulajadi.
“Kini dunia sudah mencatatkan paras karbon dioksida melebihi 420 bahagian per juta (ppm) iaitu angka tertinggi dalam sejarah manusia, jauh melampaui paras stabil 280 ppm sebelum Revolusi Perindustrian,” katanya. – Harian Metro.